1.
Kaedah pesanan dan arahan
Kaedah ini
merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah SAW.
Biasakan mendidik anak-anak dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Selepas
itu boleh dilihat bagaimana reaksi mereka. Apakah dengan sekali pesanan atau
arahan mereka boleh melakukannya atau perlu dipesan berkali-kali barulah
pesanan dan arahan itu dapat diikuti. Menurut pandangan pakar pendidikan
kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa
bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan
baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :
Mengenai
solat di awal waktu
Adab dengan
orang tua-tua
Adab dengan
kawan-kawan
Tugas
harian di rumah
2.
Kaedah bercerita
Ibubapa
boleh bercerita tentang pelbagai kisah motivasi terutamanya kisah-kisah teladan
daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah supaya
anak-anak secara tidak langsung dapat dididik melalui pemahamam minda bawah
sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh
dicungkil daripada cerita tersebut, Selain daripada itu, ianya dapat mengerat
dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, yang mana anak-anak boleh
menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas tentang apa yang diceritakan
dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.
3.
Kaedah soal jawab
Bersoaljawab
dengan anak dapat menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah
sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan
aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara
berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam
perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.
Anak-anak
kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang
tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya
menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah
menggambarkan pembangunan minda anak-anak yang cemerlang. Jika ditangani dengan
baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.
4.
Kaedah merujuk kenangan lalu
Kaedah ini
bermaksud samada kenangan suka duka, pahit manis yang di perolehi sepanjang
kehidupan ini. Pengalaman yang positif diambil sebagai teladan, manakala
pengalaman yang negatif pula dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan
dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat supaya ianya
lebih mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan. Selain itu
pengalaman dari anak-anak itu sendiri juga penting. Ibubapa boleh mengaitkan
apa pengajaran dan mengapa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit
yang telah mereka alami atau teladan dari peristiwa manis dan kejayaan yang
pernah mereka kecapi.
5.
Kaedah nasihat dan teguran
Kaedah ini
tidak boleh dilakukan setiap hari atau masa untuk mengelakkan rasa jemu dan
bosan pada anak-anak. Nasihat dan teguran kepada anak-anak hendaklah diberi
dalam hal yang berkaitan dengan akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab,
kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Ketika mendengar nasihat dan teguran
daripada ibu bapa, anak-anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah
kedua-duanya atau tunduk.
6.
Kaedah bermain dan bergurau
Cuba tanya
diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan
anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak
ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan
anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.
Mengikut
kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan
menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula
bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga
meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.
7.
Kaedah latihan yang berterusan
Anak yang
cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga
disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu
dilatih secara praktikal dan berterusan. Contohnya anak lelaki diajar untuk menjadi
pemimpin dan perlu bersifat tegas manakala perempuan bersifat sopan dan lemah
lembut.
Pengagihan
tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun
belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh
ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.
Jangan lupa
memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan
sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan
bersifat takbur.