......

7 Cara Mendidik Anak Mengikut Psikologi Islam. Jom Amalkan!

6666


1. Kaedah pesanan dan arahan

Kaedah ini merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Biasakan mendidik anak-anak dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Selepas itu boleh dilihat bagaimana reaksi mereka. Apakah dengan sekali pesanan atau arahan mereka boleh melakukannya atau perlu dipesan berkali-kali barulah pesanan dan arahan itu dapat diikuti. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :

Mengenai solat di awal waktu

Adab dengan orang tua-tua

Adab dengan kawan-kawan

Tugas harian di rumah






2. Kaedah bercerita

Ibubapa boleh bercerita tentang pelbagai kisah motivasi terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah supaya anak-anak secara tidak langsung dapat dididik melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, Selain daripada itu, ianya dapat mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, yang mana anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas tentang apa yang diceritakan dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.


3. Kaedah soal jawab

Bersoaljawab dengan anak dapat menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.

Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anak yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.





4. Kaedah merujuk kenangan lalu

Kaedah ini bermaksud samada kenangan suka duka, pahit manis yang di perolehi sepanjang kehidupan ini. Pengalaman yang positif diambil sebagai teladan, manakala pengalaman yang negatif pula dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat supaya ianya lebih mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan. Selain itu pengalaman dari anak-anak itu sendiri juga penting. Ibubapa boleh mengaitkan apa pengajaran dan mengapa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit yang telah mereka alami atau teladan dari peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.


5. Kaedah nasihat dan teguran

Kaedah ini tidak boleh dilakukan setiap hari atau masa untuk mengelakkan rasa jemu dan bosan pada anak-anak. Nasihat dan teguran kepada anak-anak hendaklah diberi dalam hal yang berkaitan dengan akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak-anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.





6. Kaedah bermain dan bergurau

Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.

Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.


7. Kaedah latihan yang berterusan

Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Contohnya anak lelaki diajar untuk menjadi pemimpin dan perlu bersifat tegas manakala perempuan bersifat sopan dan lemah lembut.

Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.

Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.


Related Posts

Previous
Next Post »
.. .. ..