......

Panduan Ibadah Puasa Dan Pengisiannya. Apa yang Anda Perlu Tahu.

6666







Islam merupakan ad-din cara hidup jitu dan unggul  bagi manusia. Kesyumulan dan keserasian ini dapat dilihat pada peraturan dan garis panduan yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sama ada tuntutan rohani, jasmani mahupun akli.


Ramadhan telah ditentukan oleh Allah Ta’ala sebagai bulan suci untuk melatih hambaNya membersihkan jiwa dan mencapai ketakwaan melalui ibadah puasa. Oleh kerana tetamu yang mulia ini mengunjungi kita setahun sekali maka sudah pasti ada perkara-perkara yang kita terlupa mengenainya dan perlu mengulangkaji dan memperbaharui ingatan tersebut serta berusaha mendapatkan pedoman yang sewajarnya melalui majlis-majlis ilmu seumpama ini supaya dengan itu kita dapat menjalani ibadah tersebut dengan lebih sempurna berbanding tahun-tahun yang lalu, insyaAllah.


Ibadah puasa dan pengisiannya.


Kita perlu berniat puasa di malam hari hingga terbit fajar kerana ia adalah syarat sah puasa.

Menurut Mazhab Syafie, niat puasa Ramadhan perlu dilakukan tiap-tiap hari sebagai syarat sah puasa. Namun begitu untuk lebih berhati-hati dan jika khuatir terlupa, maka digalakkan berniat puasa Ramadhan pada malam pertama Ramadhan dengan berniat puasa seluruh Ramadhan dengan mengikut pendapat Imam Malik.

Sah puasa jika makan dan minum (bersahur) selepas waktu imsak sehingga pasti terbit fajar (masuk waktu subuh) kerana permulaan puasa ialah bermula dengan terbit fajar sadiq. Namun begitu berhenti makan dan minum sebelum waktu imsak adalah afdhal kerana mengikut sunnah dan sebagai langkah berhati-hati dan bersedia mempersiapkan diri untuk memulakan ibadah puasa.

Yang dimaksud dengan waktu Imsak adalah waktu untuk menahan diri dari melakukan perkara-pekara yang membatalkan puasa, maka sebaiknya kita berhenti makan ketika waktu Imsak telah masuk.

Orang yang berpuasa tetapi melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat dengan sengaja seperti meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat, mengumpat, berbohong, menonton acara hiburan yang melalaikan, melihat, membaca atau berbicara tentang perkara yang menimbulkan syahwat secara langsung atau tidak seperti melalui telefon, sms, internet, televisyen dan sebagainya adalah sah tetapi dikhuatiri tidak diterima oleh Allah kerana mengurangkan atau menghilangkan pahala puasa. 

Puasa yang berfaedah dan diterima adalah puasa yang dapat mendidik jiwa dan mampu menggerakkan diri untuk mengerjakan kebaikan serta dapat membuahkan ketakwaan sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Al-Baqarah : 183)






Solat Tarawih

Mengerjakan solat tarawih secara berjemaah adalah afdhal daripada mengerjakannya bersendirian. Bilangan rakaat solat tarawih beserta witir boleh dilakukan samada 11, 13 atau 23 rakaat kerana masing-masing ada hujah tersendiri yang menyokong.

Bahkan sebahagian kaum muslimin ada yang mengerjakan lebih daripada itu menurut yang disanggupi kerana Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan bilangan yang tertentu. Setiap kali seseorang itu membanyakkan bilangan rakaatnya kerana melaksanakan anjuran menghidupkan malam Ramadhan maka semakin banyak pula pahalanya.

Apa yang lebih penting solat tarawih dan witir dapat dilaksanakan dengan penuh ketenangan dan khusyu’ mudah-mudahan diterima oleh Allah Ta’ala dan mendapat ganjaran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Barangsiapa yang berdiri solat di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka ia akan diampuni dari dosa-dosa yang lalu.”

 (Maksud Hadis Riwayat Muslim)






Lailatul Qadar

Lailatul qadar dapat disaksikan oleh orang yang dikehendaki oleh Allah pada tiap-tiap tahun di dalam bulan Ramadhan.

Tidak ada kepastian yang yang jelas mengenai masa berlakunya lailatul qadar. Namun begitu Jumhur Ulama’ berpendapat ia berlaku pada malam yang ganjil daripada 10 akhir Ramadhan berdasarkan kepada petunjuk beberapa hadith sahih anataranya yang diriwayatkan oleh Bukhari dari ‘Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bemaksud :

“Carilah dengan segala daya upaya malam lailatul qadar di malam-malam ganjil dari sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan.”






Tadarus Al-Qur’an

Merupakan suatu sunnah yang digalakkan kerana Rasulullah SAW melakukan mudarasah al-Qur’an bersama Jibril a.s setiap tahun sekali dan melaksanakan yang demikian pada tahun kewafatan baginda sebanyak 2 kali.

Hendaklah dilakukan dengan menjaga adab-adabnya sperti membaca dengan tenang, hadir hati, menyedari kebesaran kalamullah, tadabbur, tartil dan sebagainya.


Akhir kata...

Ramadhan ibarat sebuah madrasah atau sekolah yang ditentukan oleh Allah untuk mentarbiyah, melatih dan mendidik umat Islam agar dapat melahirkan insan bertakwa yang patuh tunduk kepada suruhan dan laranganNya.

Bulan yang disediakan di dalamnya pelbagai bekalan untuk diambil sebanyak mungkin oleh para hambaNya yang beriman buat bekalan perjalanan di masa hadapan.


Bulan untuk menyucikan diri dari kekotoran dosa dan memperbaharui diri dengan keimanan yang lebih kental guna menghadapi pelbagai ujian yang mendatang dalam bulan-bulan seterusnya. Beruntunglah jika kita dapat menggunakan kesempatan yang bakal tiba dengan sebaik-baiknya dan rugilah mereka yang mengabaikannya. Wallahualam.

Related Posts

Previous
Next Post »
.. .. ..